Wednesday 7 December 2011

ARTIKEL


KHAMIS, 8 DISEMBER 2011

ANAK-anak diibaratkan sebagai kain putih. Mencorakkan anak- anak ialah tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Keadaan sekeliling serta pengaruh kawan dan rakan sebaya juga merupakan pembentuk kepada peribadi, perwatakan dan gaya hidup anak-anak. Apabila anak- anak tersilap dicorakkan akan menjadi masalah kepada ibu bapa.

            Pada masa kini pengaruh globalisasi melalui kemudahan Internet, facebook, twitter dan sebagainya sangat mudah meresap dalam budaya dan jiwa kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun. Mereka ini seharusnya mendapat panduan daripada ibu bapa dan guru tentang bahaya dan pengaruh globalisasi pada masa kini. 

            Kajian menunjukkan golongan ini adalah yang teramai menggunakan Internet. Sebanyak 90 peratus daripada mereka menggunakan Internet di sekolah, di rumah dan dalam kehidupan seharian. Mereka juga kebanyakannya tidak memahami kebaikan dan keburukan Internet yang dibawa pengaruh globalisasi. 

            Jika diamati globalisasi mempunyai pelbagai tanggapan, bergantung pada bidang yang disukai seseorang seperti politik, ekonomi, budaya, perdagangan, komunikasi dan seni. Ia merangkumi keseluruhan kehidupan. Justeru, pengaruh bidang budaya sangat kuat mempengaruhi minda dan jiwa kanak-kanak. 

            Globalisasi juga membawa maksud fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manusia mudah mendapat maklumat dan sukar menapis unsur negatif yang meresap dalam hati dan minda. 

            Beberapa istilah seperti ‘dunia tanpa sempadan’ dan ‘langit terbuka’ menjadikan seperti perdagangan; pengembangan kuasa politik dan ekonomi ke arah pengembangan peradaban. Ia kelihatan mempunyai agenda tersendiri bagi kuasa Barat. 

            Bagi persediaan menghadapinya, ibu bapa mesti menyediakan kekuatan jati diri dan akhlak kepada anak-anak. Anak-anak sangat mudah terpengaruh dengan pelbagai budaya hedonisme iaitu mementingkan keseronokan dan hiburan semata-mata. Pengaruh nyanyian, budaya berpakaian, makanan dan juga percakapan sangat pantas masuk. 

            Pendek kata, proses globalisasi yang dikehendaki adalah mengikut acuan kita sendiri dan berlaku mengikut kehendak kita. Keterbukaan ekonomi akan diikuti bidang lain, termasuk nilai dan budaya. 

            Kajian pakar psikologi pendidikan iaitu aspek psikologi perkembangan dan aspek psikologi pembelajaran sangat berkait rapat dengan perkara yang baru dan menarik perhatian kanak-kanak. Ia mengkaji tingkah laku yang nyata berkaitan kelakuan dan minat kanak-kanak. Teknologi canggih yang terdapat dalam Internet memang menarik perhatian kanak-kanak dan remaja. 

            Teknologi canggih yang dimanipulasikan Barat, bukan sekadar satelit dan teknologi maklumat, bahkan penemuan sains lain yang sentiasa diusahakan seperti mencipta klon supaya membawa perubahan kebudayaan dalam kalangan manusia. 

            Perubahan pemikiran tentang politik seperti melakukan demonstrasi jalanan juga mempunyai pengaruh berikutan dunia tanpa sempadan menyebabkan pengaruh luar boleh meresap ke negara lain. Globalisasi politik ini juga mempunyai kesan buruk yang menyusahkan rakyat yang tidak berdosa seperti peniaga kecil, orang biasa, pemandu teksi dan pelancong. 

            Proses globalisasi politik sekarang sangat pantas meresap dalam pemikiran dan gaya hidup yang juga dimanipulasikan kuasa Barat. Apa yang jelas yang menjadi tabiat kepada manusia, adalah perkara yang buruk mudah menjadi ikutan. 

            Akal fikiran yang dapat memikirkan ke arah kebaikan adalah landasan penting bagi mengelakkan sesuatu perkara buruk berlaku. Globalisasi mudah mempengaruhi perasaan dan sensitiviti masyarakat ke arah bertindak ganas tanpa memikirkan kesannya. 

            Budaya ganas, tidak berterima kasih, tidak bersyukur sering meresap melalui proses globalisasi. Perlakuan cara berpakaian, cara bercakap, cara bertindak menunjukkan ciri kesejagatan yang dipengaruhi ideologi dan peranannya. 

            Sebagai benteng yang kuat dalam apa juga kegiatan baik politik, budaya dan ekonomi, peranan budi bahasa dan akhlak yang diwarisi sejak turun temurun yang menjadi budaya Melayu dan tamadun Islam seharusnya menjadi landasan. Pembangunan dan kemajuan yang sempurna juga mesti seimbang antara kerohanian dan kebendaan. 

            Ilmu juga harus menjadi benteng kepada segala gejala yang tidak sihat. Ilmu merupakan sesuatu yang bermanfaat dan bentengnya adalah agama serta keimanan. Mempelajari ilmu mesti menjurus kepada kebaikan dan kemanfaatan kepada diri sendiri dan orang lain. 

            Lantaran itu, Nabi s.a.w. berpesan: “Apabila Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang maka dia diberi hidayah dalam ilmu agama. Sesungguhnya memperoleh ilmu itu hanya dengan belajar.” (Riwayat Bukhari). 

            Jelaslah, melalui ilmu agama manusia mendapat hidayah iaitu petunjuk dan pimpinan daripada Tuhan. Petunjuk dan pimpinan itu tentulah perkara yang menjurus kepada kebaikan dan menolak kepada perkara yang tidak baik.

             Nilai murni dan budaya yang baik berteraskan nilai agama adalah benteng kepada segala pengaruh globalisasi. Akal dan keimanan menjadi pedoman hidup setiap Muslim. Oleh itu, slogan utamakan yang halal dan hindari yang haram hendaklah dijadikan pegangan dalam hidup setiap orang untuk mencari keberkatan. 

            Justeru, Hamka pernah berkata: “Agama tidak melarang sesuatu perbuatan, kalau perbuatan itu tidak merosakkan jiwa. Agama tidak menyuruh melakukan sesuatu perkara, kalau suruhan itu tidak membawa keselamatan dan kebahagiaan jiwa.” 

            Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab dan agama. Hanya dengan pegangan agama yang mantap seseorang itu dapat menangkis unsur yang tidak baik di Internet dan perkara yang dibawa oleh arus globalisasi pada masa kini. 

            Sesungguhnya, pendidikan adab dan agama mesti dilakukan sejak seseorang itu masih kecil hingga dewasa. Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Akal fikiran dan iman yang kuat akan dapat menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan agama.


No comments:

Post a Comment